Khamis, 25 November 2010

Wanita

Satu lagi artikel menarik dari Hilal Aysraf http://ms.langitilahi.com/

Berkongsi, berkenaan keadaan perempuan yang tercedera.

Anggap lah apa yang saya kupaskan ini, sebagai muhasabah.
Sebab hakikatnya, saya rasa bertanggungjawab dengan kamu wahai perempuan.
Kerna kamu akan melahirkan generasi hadapan. Kalau kamu rosak, maka yang mendodoikan buaian anak adalah mereka yang tidak mengamalkan Islam secara benar, dan apakah yang akan terjadi dengan anak di dalam buaian?

Saya risau dengan keadaan kalian sebenarnya wahai perempuan.
Kerna saya lihat kalian ini tercedera.
Tahukah kalian siapakah perempuan yang tercedera?
Itulah perempuan yang telah meninggalkan peranannya, yang telah tercemar pemikirannya, yang telah songsang pegangannya. Ada yang terang-terangan, ada pula yang diam-diam.
Tetapi siapakah yang mencederakan perempuan?
Jangan salahkan mereka sahaja. Salahnya juga terletak atas bahu ummah.

Hari ini, perempuan telah menjadi mangsa agenda serangan doktrinasi musuh-musuh yang ingin melihat kekuatan ISLAM runtuh. Pelbagai pihak, kononnya, dengan nama hendak membela hak asasi manusia, telah mengeluarkan wanita dari rumah-rumah mereka, dan mengajar wanita agar bersaing dengan lelaki dalam kehidupan dan medan pekerjaan. Kononnya itulah persamaan taraf, kononnya itulah tanda kecemerlangan, kekuatan dan sebagainya. Akhirnya, ibu kepada manusia ini terluka. Terluka dengan suasana, dan medan yang bukan medannya.
Luka atas wanita ini, tidak akan mampu dirawati, diubati, melainkan dengan memahami keadaan mereka, dan mereka juga cuba memahami diri mereka. Melainkan, apabila kita semua kembali kepada apa yang telah Allah susunkan untuk kita.

Kalau kita lihat hari ini, kita boleh saksikan ramai perempuan-perempuan yang tercedera. Mereka tidak luka pada kulit, tetapi mereka luka pada hati. Dari luka hati inilah, bernanahnya kefahaman yang rapuh serta amal yang buruk.

Rata-rata hari ini perempuan membuka perisai malu mereka kepada sesiapa sahaja. Hatta, sebahagian besar tidak memilih orang, malah membuka perisai malu itu untuk tayangan ramai. Mereka menampilkan fesyen pakaian yang pelbagai, sama sekali jauh dari adab berpakaian yang ISLAM anjurkan.

Bila ditanya mengapa tidak menutup aurat?
Mereka menyatakan bahawa itu adalah kebebasan peribadi. Bila disuruh, mereka terus menyatakan bahawa kita hendak memberikan tekanan kepada mereka. Tetapi, jangan kita salahkan mereka 100% atas tindak balas mereka. Mereka adalah perempuan yang tercedera oleh pisau sistem, konspirasi untuk merosakkan masa hadapan kita.

Rasulullah SAW bersabda,
“Tidaklah aku tinggalkan setelahku fitnah yang lebih berbahaya bagi laki-laki daripada fitnahnya wanita.” (HR. Al-Bukhari no. 5096 dan Muslim no. 6880)

Benar. Fitnah terbesar adalah perempuan. Kerana, kejatuhan wanita adalah kejatuhan ummah. Mereka adalah makhluk Allah yang sangat penting dalam pembinaan ummah. Kerana mereka merupakan ibu manusia, dan pendidik ummah yang pertama.

“ Penzina perempuan dan penzina lelaki, sebatlah kedua mereka dengan seratus sebatan, dan janganlah rasa belas kasihan kammu terhadap mereka bedua mencegah kamu untuk(menjalankan) agama(hukum) ALLAH, jika kamu beriman kepada ALLAH dan hari kemudian. Dan hendaklah(perlaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sebahagian orang-orang yang beriman” Surah An-Nur ayat 2.

Lihat, kenapa Allah SWT menyatakan: “Penzina perempuan dan penzina lelaki…” Bukan “Penzina lelaki dan penzina perempuan” Macam ayat: “Lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri..”?

Kenapa?
Sebab, dalam hal mencuri, kudrat lelaki melebihi perempuan. Tetapi dalam hal zina, maka perempuan adalah faktor utama. Pada perempuan ada tarikan yang lebih. Sebab itu, Islam amat menjaga perempuan, dan menyuruh perempuan agar menjaga diri dengan menutup aurat dan membataskan pergaulan.

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan kain kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” Surah An-Nur ayat 31.

Lihatlah hari ini, bagaimana perempuan-perempuan dicederakan. Mereka dilimpahkan lampu kepopularan. Lalu dinipiskan pakaian mereka biar mengiurkan. Suara sengaja dilembut-lembutkan. Menggoda. Disingkat pakaian mereka biar ada bahagian tubuh cantik terdedah. Dicukur bulu kening mereka agar kelihatan anggun. Gincu merah menyala dikenakan pada bibir. Tidak kurang pula yang sengaja menggoda lelaki-lelaki. Kononnya diri dianggap hebat jika mempunyai 2-3 pasangan serentak.

Saya hendak bertanya, bagaimanakah dengan anak-anak kepada perempuan sebegini? Adakah anak mereka akan lebih mudah mengikuti ajaran ISLAM dan mengamalkannya, atau mereka akan rasa sukar mengamalkan ISLAM lalu meninggalkannya? Posibiliti yang manakah mempunyai peratusan lebih tinggi?

Tercederanya perempuan hari ini tidak lagi mengira umur. Ramai sahaja berumur semuda belasan tahun sudah mengandung. Kalau sudah berkahwin tidak mengapa, tetapi rupanya hubungan seks bebas luar nikah yang dilakukannya. Ada yang sanggup berbogel, menangkap gambar lalu menghantarnya kepada yang tercinta. Ramai pula yang tertipu dengan satu kalimah bernama CINTA.

Bila menyebut cinta, jangan dikatakan perempuan yang mendedah-dedah auratnya sahaja. Sudah banyak kes perempuan yang bertudung labuh pun terjebak sama. Hal ini kerana, mereka telah menjatuhkan pegangan mereka, menurunkan perisai keimanan mereka, lantas memurahkan diri mereka. Malah, ada kes, perempuan yang bertudung labuh, sekolah agama, sanggup murtad hanya kerana cintanya kepada seorang lelaki.

Kadang-kadang, ada perempuan sengaja menyembur minyak wangi harum semerbak, satu dewan kuliah boleh membauinya. Ada yang sengaja menegur sapa lelaki tanpa sebab yang penting. Ada juga yang berhias berlebihan, bertabarruj. Sedangkan Allah SWT berfirman:
“Janganlah kalian (wahai istri-istri Nabi) bertabarruj sebagaimana tabarruj orang-orang jahiliah yang awal.” Surah Al-Ahzab: 33

Perempuan, apakah kamu sedar akan keadaan kamu hari ini?
Hari ini, kebanyakan perempuan cedera tidak mengira sudut. Sudut pemikiran, sudut akhlak, sudut pegangan, sudut adab sopan, semuanya dihiris dengan pisau tajam nan buas. Perempuan rasa rumah tempat hina. Medan kerja lelaki itulah yang perlu disainginya. Maka tertinggallah anak hilang guru pertamanya. Perempuan rasa perlu setanding lelaki. Keluar berkerjaya hingga lupa tanggungjawab diberi ILAHI. Bergaul dengan bukan mahram realiti hari-hari, pergaulan bebas sudah ibarat garam dalam masakan sendiri.

Perempuan hari ini tercedera. Darah mereka masih mengalir. Luka semalam belum sembuh, muncul pula luka baru pada hari ini.

Bila perempuan tercedera, di manakah pendidik dan penjaga sang bayi suci?
Tercedera. Segeralah mencari ubat!

Apakah ubatnya? Semua perlu kembali kepada Islam. Semua. Lelaki dan perempuan. Sama-sama kembali menilai, bermuhasabah akan kepentingan dan kelebihan satu sama lain, seterusnya mencari titik persamaan. Ketahuilah bahawasanya, Nabi Adam dahulu pun sunyi di dalam syurga, lalu diberikannya Hawa.

ALLAH SWT berfirman,
“Mereka itu adalah pakaian bagi kamu, dan kamu pula adalah pakaian bagi mereka” Ayat 187 Surah Al-Baqarah.
Kita saling memerlukan sebenarnya. Dan lelaki sebagai pemimpin, perlu lah mengambil berat akan keadaan hawa. Kenapa saya menulis artikel menegur lelaki terlebih dahulu sebelum ini? Kerana lelaki adalah ketua. Sebaik mana pun perempuan, kemungkinan untuk lelaki tunduk mengikuti nasihatnya adalah sedikit. Sebab itu saya sebagai lelaki, perlu menegur kaum saya terlebih dahulu. Agar lelaki lebih kuat, dan tabah, serta bersih, seterusnya mampu memimpin perempuan-perempuan yang tercedera ini, mencuci luka mereka, dan merawat jiwa-jiwa mereka.

Hal ini kerana, pada saya, bila perempuan tercedera, lelaki juga terluka.
Buangkan ego kita, kembalikan intelek kita, rasionalkan pemikiran, bina kesefahaman!
Kefahaman dan kesedaran ini perlu kita fahaminya,

Jika tidak kita akan terus luka, terluka dan terluka, bersama masa hadapan yang penuh kegelapan semata. Tidak kah kita memikirkan anak-anak yang akan menyambung kerja kita? Tidak kah kita memikirkan keadaan anak-anak kita pada zaman mereka?
Anak-anak memerlukan tarbiyah, didikan Islam daripada kedua ibu bapanya. Andai ibunya rosak, bapanya tidak faham, maka bagaimana dia hendak membesar dengan baik, dan berdiri di hadapan Allah dengan baik?

Maka, marilah kita sama-sama muhasabah. Sementara darah kita masih belum kering….
Mari kita berusaha mengubatinya, mengubati luka-luka kita!
Perempuan, saya sebagai lelaki menyedari hal ini, maka bagaimana kah anda?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan