Selasa, 30 November 2010

Terus pulang kepada Allah

Dari langit ilahi

Semasa saya menulis artikel ini, saya baru pulang daripada Masjid Jami’ah(Masjid Universiti dalam BMnya), masjid utama di Irbid ini. Solat Jumaat.

Satu perkara yang menyebabkan saya menaikkan nama Masjid Jami’ah pimpinan Sheikh Ma’mun di Irbid ini itu pada kali ini adalah kerana tadi semasa saya Solat Jumaat, ada sesuatu yang mengetuk pemikiran saya, menyentuh hati saya.

Khatib tadi adalah Sheikh Dr Abdullah Juyushi, pakar Al-Quran di University of Yarmouk. Bukan hendak menyatakan apa yang disampaikan. Tetapi saya hendak menyatakan apa yang berlaku. Keadaan di sini. Dan apakah yang berjalan sepanjang Khutbah dan Solat Jumaat tadi.
Untuk saya, guru-guru saya di sini, berjaya menunjukkan sesuatu yang memukau jiwa.

Satu perkara pada tahun ini yang berlaku adalah, Hujan lama tidak turun. Ya, walaupun dinamakan sekarang musim sejuk, sejuknya tidak seberapa. Menambah ketidak bestannya untuk umum, hujan tidak turun membasahi bumi buat sekelian lama. Sudahlah ketika musim panas memang tidak akan ada hujan, bila tiba musim sejuk, hujan tidak turun kerap pula.
Ini menyebabkan mereka yang menguruskan tanaman di sini kesempitan. Dengar kata, ianya juga menganggu ekonomi negara. Jordan sudahlah tanah gersang, hasil tanahnya juga amat sedikit, maka apabila jadi begini, makin teruklah keadaannya. Itu belum dikira kesempitan air di sini, yang akan bertambah sempit sekiranya semua ini berlarutan.
Berbanding tahun-tahun yang lalu, hujan turun agak kerap.
Tahun ini, Jordan agak gersang.

Jawapan saya
Jujurnya, setiap kali persoalan: “Kenapa tak sejuk ya?”, “Kenapa tak hujan tahun ni ha?” muncul, saya akan menjawab: “Tu la, ekosistem dah rosak. Makin tahun, makin teruk. Ganggu cuaca dan sebagainya.”

Saya menjawab secara saintifik, logik mengikut apa yang berlaku.
Tetapi tadi, di dalam Masjid Jami’ah itu, perkara yang berlaku adalah berbeza dengan jawapan saya. Yang menyebabkan saya malu dengan jawapan saya. Yang menyebabkan saya hanya menunduk sepanjang khutbah tadi, sedang suara Sheikh Dr Abdullah Juyushi bergetaran menahan sebak semasa khutbahnya.
Hati saya bergetar.

Apakah yang berlaku?
Isi khutbahnya
Sheikh Dr Abdullah Juyushi membawa tajuk “Istaghfirullah” atau dalam BMnya, “Beristighfarlah kepada Allah.” Dan yang menyebabkan saya rasa malu adalah, dia mengajak masyarakat di Jordan ini bertaubat kepada Allah, sentiasa beristighfar kepada Allah, kerana KEMUNGKINAN HUJAN YANG TIDAK TURUN INI ADALAH KERANA DOSA-DOSA YANG DILAKUKAN OLEH MASYARAKAT JORDAN.

Seluruh khutbahnya tadi berpusat kepada itu. Menyatakan bahawa sekiranya penduduk satu kawasan itu benar-benar bertaqwa kepada Allah, menjauhi laranganNya, tidak akan ada apa yang datang melainkan semata-mata kebaikan sahaja. Tetapi sekiranya kita melakukan kemungkaran, maka Allah akan memberikan azab seksa, kesusahan, atas sebab apa yang dilakukannya.

Sheikh Dr Abdullah Juyushi membaca ayat ini:
“Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” Surah Al-A’raf ayat 7.

Sepanjang khutbah, Sheikh Dr Abdullah Juyushi mengulang hal istighfar, mengajak semua memuhasabah dosa yang dilakukan, dan mengajak semua bertaubat kepada Allah agar Allah mengangkat semua permasalahan ini. Mengingatkan bahawa hujan adalah milik Allah, dan siapakah yang akan menurunkan hujan jika bukan Allah SWT? Maka bagaimanakah hamba Allah yang bermaksiat kepada Allah, hendak meminta hujan kepada Allah SWT?
Akhir khutbah pertamanya, dia membaca satu syair yang panjang, menyatakan pengaduan seorang hamba yang berdosa, dan seksa yang Allah turunkan kepada hamba itu, dan bagaimana hamba itu merayu kepada Allah, bertaubat semula kepadaNya, meminta diangkat segala bala dan bencana. Sheikh Dr Abdullah Juyushi membaca syair itu sambil menahan sebaknya. Getar suaranya jelas kedengaran.

Membuatkan saya teringat semula kepada jawapan saya apabila ditanyakan berkenaan cuaca, keadaan Jordan tahun ini.

Saya malu.
Sedikit pun hal ekosistem tidak disebut oleh Sheikh Dr Abdullah Juyushi tadi.
Pertama sekali adalah - Pulang kepada Allah. Allahlah pengawal ekosistem. Allahlah yang mengawal cuaca, menurunkan hujan, memberikan bencana, mendatangkan kesukaran, dan menghadiahkan kesenangan. Allah, dan hanya Allah.

Ketika Solat Jumaat
Solat diimamkan oleh Sheikh Ma’mun, boleh diktakan sebagia pemimpin Masjid Jami’ah itu. Selepas ruku’ rakaat kedua, Sheikh Ma’mun membaca doa memohon hujan.
Apa yang mengharukan saya adalah, permohonannya yang bersungguh-sungguh. Seakan manusia itu tidak punya kudrat langsung. Dia berdoa agar Allah memandang kami, dan tidaklah mengambil dosa-dosa kami sebagai sebab tidak menurunkan hujan ini. Dia meminta ampun agar Allah mengampunkan kami, dan meminta agar Allah tidak marah atas perbuatan orang-orang yang bodoh(ingkar kepada Allah) dari kalangan kami. Dia meminta agar Allah menurunkan hujan, menyuburkan tanah. Dan dengan rendah diri, Sheikh Ma’mun berdoa agar Allah menerima doa kami dengan mengharapkan Allah memandang orang-orang soleh dari kalangan kami, dan amalan-amalan soleh yang kami pernah lakukan.

Ketika inilah saya bertanya diri saya. “Apa amal soleh aku?”
Dan saya hanya nampak dosa.
Malu. Mungkin aku penyebab Allah tidak menurunkan hujan? Perasaan itu muncul, menyebabkan saya rasa teramat kerdil. Mati-matian saya mengaminkan doa tadi. “Ya Allah, jangan kerana dosa aku, Kau hentikan rahmat pada masyarakat ini. Terimalah doa Sheikh Ma’mun itu.”
Sungguh, terasa kerdil. Bahkan malu. Melihat bagaimana guru-guru saya pulang kepada Allah sepenuhnya. Timbul persoalan di dalam diri saya.
Aku bagaimana?
Muhasabah.

Penutup: Kita jarang meletakkan Allah yang pertama
Akhirnya, kadangkala dalam usaha kita menyebarkan kebaikan, apatah lagi dalam kehidupan kita yang melalaikan, kita jarang meletakkan Allah di tempat yang pertama. Kita jarang menjadikan Allah rujukan pertama kita. Lebih kelakar, hatta dalam keadaan bermasalah, biasanya Allah bukan yang pertama kita cari.
Saya malu. Ini realiti.

Ya Allah. Aku khilaf. Jauh daripadaMu.
Ya Allah, rahmatilah guru-guruku yang menunjukkan contoh kepadaku.
Rahmatilah bumi Jordan yang memberikan banyak pengajaran kepadaku.
Rahmatilah pembaca-pembaca Langit Ilahi, dan jadikanlah mereka hamba-hambaMu yang terbaik.
Dan rahmatilah aku, jadikan aku hambaMu yang rapat dan sentiasa pulang kepadaMu.
Amiiin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan