Jumaat, 24 Januari 2014

ikhtiar masalah gangguan

IKHTIAR MASALAH GANGGUAN :

1) Pastikan diri dalam keadaan berwudhuk, berada di tempat yang bersih dan tenang (tidak dikhalayak)

2) Sebaiknya dirikan solat sunat taubat 2 rakaat.

3) Selesai solat, jari telunjuk kanan diletakkan (tunjuk) ke dada kiri, mata dipejamkan dan hadirkan kalimah الله di depan wajah.

4) Tarik nafas melalui hidung, dalam hati, ucap Ismuzzat, الله , tahan nafas, (dalam hati) ucapkan kalimah Toyyibah لا إله إلا الله, sebanyak mungkin.

5) Lepaskan nafas perlahan-lahan, dengan Kalimah Huu. Dengan doa, MOHON semoga ALLAH Azza Wajalla keluarkan segala yang bathil.

6) Ulang langkah dalam bilangan ganjil. Sepanjang amalan, jangan dialihkan 'pandangan' daripada kalimah الله di depan mata.

7) Jika selepas dilepaskan nafas, ada berbau terbakar atau hangit, adalah lebih baik, membuat mandian. (Pastikan periksa rumah dahulu, bimbang dapur yang terbakar )

InsyaALLAH, jika ada berbau hangit atau terbakar, itu bermaksud, anda telah dibebaskan oleh ALLAH dari gangguan tersebut.

Paling utama, HARAP pada Redha dan Rahmat ALLAH Jalla WaAla akan segala amal dan perbuatan.

BarakALLAHu fikum.

kebaikan memanah

RIADAH SUNNAH SEBAGAI TERAPI

Petang tadi, sang faqir didatangi oleh sahabat yang sebelum ini terkena 'mild stroke' dan telah menjalani terapi stroke dengan tiaf, kurang lebih sebulan yang lepas. (Mild stroke tubuh sebelah kiri akibat tekanan darah tinggi dan lemah jantung, berumur 42 tahun)

Keadaan dirinya kelihatan sudah semakin baik dan hadir dengan wajah ceria ke teratak sang faqir.

Seperti biasa, selepas selesai kuliah dengan sahabat-sahabat sang faqir terus pulang ke rumah dan meneruskan riadah petang kami seperti biasa. Berlatih memanah.

Sahabat tadi datang singgah kerana kebetulan melintasi kawasan perumahan sang faqir. Wajah ceria, tubuh semakin sihat dan tiada menunjukkan dirinya sedang mengalami stroke lagi.

Sahabat tersebut dijemput masuk dan ikut serta riadah kami. Wajahnya ceria. Ketika itu berlaku perbualan di antara kami, sementara hero-hero sang faqir sibuk dengan latihan mereka.

Sahabat R : Pertama sekali ustaz, nak maklumkan yang AlhamdulILLAH stroke saya sudah pulih. Keduanya nak ucap terima kasih pada ustaz pasal tolong rawat saya dan paling penting, tips terapi ustaz bagi memang menjadi.

Sang faqir : AlhamduLILLAH, kerja DIA belaka, saya sekadar digerakkan sahaja. Tapi tips terapi yang mana ye menjadi tu ye?

Sahabat R : Tips pemakanan, tips senaman, paling utama tips nie haa (sambil memegang busur panah sang faqir), ustaz ada ajar, tunjuk cara memanah untuk pesakit stroke, ustaz ingat tak?

Sang faqir : AlhamduLILLAH, insyaALLAH ingat. Kan saya dah pesan, memanah adalah terapi terbaik dalam masalah stroke, bukan saja stroke, untuk penyakit-penyakit lain pun insyaALLAH boleh. Setiap perkara yang Sayyiduna RasulILLAHi SallALLAHu Alaihi Wasallam lakukan, tunjukkan dan sarankan adalah yang terbaik untuk umatNya.

Sahabat R : Betul tu ustaz, saya syukur sangat, bukan saja sembuh dari stroke, masalah kesihatan saya yang lain pun dah banyak kurang, terutama darah tinggi dan jantung saya.

Sang faqir : Macam yang saya beritahu dulu, antara fungsi memanah adalah untuk elakkan berlakunya ateroma (pengerasan arteri) & trombosis pada arteri. Kalau dah ada masalah jantung, memanah boleh jadi terapi untuk aktifkan injap pulmonari, trikuspid, bicuspid dan aortic. Itu belum lagi kebaikan memanah untuk otak dengan sistem tubuh.

Sahabat R : Betul ustaz, saya amat setuju, saya dah rasa keajaiban memanah nie. Terima kasih banyak-banyak ustaz. ALLAH saja mampu balas jasa baik ustaz.

Sang faqir : ALLAHu Akbar, saya tak buat apapun, merapu saja banyak. Semuanya kerja DIA belaka. Sihat dari sakit tu tanda kena tingkatkan ibadah, kena rajin solat jemaah di masjid, pemakanan kena jaga, lepas nie kena cuba berenang dan berkuda pula. InsyaALLAH, kesihatan kita tip top dengan asbab menghargai sunnah Sayyiduna RasulILLAHi SallALLAHu Alaihi Wasallam, paling penting hargai dan ikut dengan ilmu.

Sahabat R : InsyaALLAH ustaz, saya akan follow semua tu.

Sang faqir : Follow tu follow juga, tapi kena ingat, follow dengan ilmu. Bangsa yahudi, antara yang konsisten amalkan sunnah Sayyiduna RasulILLAHi SallALLAHu Alaihi Wasallam walaupun mereka bukan Muslim malahan tolak Kerasulan Sayyiduna RasulILLAHi SallALLAHu Alaihi Wasallam. Tapi mereka tetap buat apa yang Nabi kita SallALLAHu Alaihi Wasallam buat. Tahu kenapa?

Sahabat R : Uhhh, ye ke ustaz? Kenapa ya?

Sang faqir : Pasal mereka dah KAJI dan DALAMI akan perkara yang dikatakan sunnah tu. Jadi kita sebagai orang Islam nie, sepatutnya kena lebih lagi study dan faham sunnah Sayyiduna RasulILLAHi SallALLAHu Alaihi Wasallam. Pasal orang bukan Islam tidak akan tanya kita, SUNNAHKAH MEMANAH? tapi mereka akan bertanya KENAPA MEMANAH ITU SUNNAH?

Sahabat R : Betul sangat tu, ramai orang Islam sendiri hari nie pandang sunnah macam kolot kan ustaz? Kenapa ya?

Sang faqir : (sambil tersenyum) Akhir zaman Tuan, akhir zaman.

Perbualan kami beberapa ketika selepas itu tamat, dan sahabat tadi sempat memanah dengan 20 batang anak panah.

Kesimpulan dari perbualan kami ini. Sebagai Muslim yang juga bergelar umat kepada Sayyiduna RasulILLAHi SallALLAHu Alaihi Wasallam, wajarlah kita mempertahankan sunnah Penghulu kita ini, kita memerlukan syafaat Baginda SallALLAHu Alaihi Wasallam bukan sahaja di akhirat malahan juga di dunia.

Selami dan Hayatilah Sunnah Insan Mulia dan Hebat ini, untuk merasai Kemuliaan dan Kehebatan ALLAH Azza Wajalla.

ayat power

AYAT POWER???

Seringkali orang bertanya kepada sang faqir yang dhoif dan jahil ini. Persoalan yang sang faqir rasakan sudah tahap 'berbuih mulut' untuk dijawab lisan, bergetar tangan lenguh dijawab dengan elektronik.

Soalan berbunyi,
"ustaz, ayat apa untuk sakit kepala ya?"
" Saya sakit perut, ada ayat tak untuk hilangkan sakit perut?"
"Dada saya selalu sakit malam-malam, ada tak ayat untuk hilangkan sakit dada?"
(Situasi pertama)

Soalan-soalan di atas antara berlonggokkan soalan yang menerkam ruangan PM, whatsapp, email, sms dan secara nyata.

Tiada masalah, sang faqir tolong jawabkan seadanya.

Agak kepelikan, kerana kebanyakan soalan bercirikan "ayat".

Bagi sang faqir, soalan yang sepatutnya ditanyakan, contohnya :
"Saya selalu sakit dada malam-malam, apa sebenarnya masalah saya dan bagaimana cara nak bendung ya?" (Situasi kedua)

Terdapat perbezaan yang jauh konteks antara soalan situasi pertama dan situasi kedua, nampak macam sama tetapi konteksnya amat jauh berbeza.

Selalunya kepada mereka yang bertanyakan soalan tentang ayat, sang faqir akan menjawabkan, "Baca Al Faatihah 1x, Selawat 7x pada secawan air madu, doakan semoga ALLAH redakan kesakitan, kemudian minum air tersebut"

Ada antara mereka akan menjawab, "itu saja ke ustaz? Kan dalam perubatan Islam ada ayat khas untuk sakit tertentu."

Lazimnya, bagi pertanyaan seperti itu, sang faqir akan menjawab, " Kita menyembah ALLAH, bukan menyembah ayat, ayat adalah wasilah (perantaraan) dalam amalan, yang paling penting adalah DOA dan USAHA."

Mereka akan menjawab semula, " bukan ke ayat quran tu penawar ke?"

Sang faqir hanya dapat menghela nafas panjang dengan pertanyaan tersebut.

Kenapa isu seperti ini perlu timbul dalam Perubatan Islam? Asal sebut perubatan Islam, mesti guna ayat. Begitukah hakikat perubatan Islam?

Betul, amat betul, Al Quran itu adalah penawar, tetapi kepada siapa?

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا
"Dan KAMI turunkan dari Al Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi ORANG-ORANG YANG BERIMAN dan Al Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian. "(Al Isra' : 82)

Jika kita lihat dan selami kalimah لِلْمُؤْمِنِين , Al Quran itu penawar untuk orang yang BERIMAN. Apakah ciri-ciri yang disebut beriman?

Untuk penghuraian tersebut, pasti akan penat mata sekalian sahabat hendak membaca bebelan si jahil ini.

Adapun, perlu kita faham, Al Quran adalah KalamULLAH malahan mukjizat ma'nawi Sayyiduna RasulILLAHi SallALLAHu Alaihi Wasallam. Adakah semata-mata dibaca untuk penawar sekadarnya? TIDAK, ianya lebih besar dari itu.

Kenapa sang faqir tidak tekankan ayat khusus itu ini? Jawabnya, Kerana menjaga kemuliaan dan kesucian Ayatul Quran yang tinggi dan tidak ternilai kedudukannya.
Jika diberi ayat tertentu sebagai contohnya, selepas itu mereka membacakannya pada sakit mereka dan sakit tidak hilang, bimbangnya akan muncul persoalan:
- "Ayat tidak power"
- "ada lagi tak ayat yang lebih ummph"
- "saya dah baca macam-macam ayat, amal dah macam-macam, tapi tak menjadi, ayat saya, amalan saya tak power ke?"

Aqidah mereka akan terus dalam keadaan lemah, sakit semakin bertambah, masalah terus berlarutan. Kenapa? Ia berbalik kepada ASAS UTAMA iaitu TAUHID, iaitu Ilmu Aqaid.

Ayat yang dibacakan sebagai ikhtiar menunjukkan kita berpandukan kepada Al Quran tetapi bukan bergantung kepada Al Quran, hakikat pergantungan kita adalah kepada ALLAH.

Hal yang paling penting dalam bab penyakit adalah:
1) Mengetahui dahulu punca penyakit,
2) Masalah sebenar penyakit
3) Kaedah ikhtiar bagi penyakit

Maka, dalam masa inilah ayat-ayat Al-Quran dan doa-doa Nabawiyyah serta doa warisan para siddiqin wa muqarobbin menjadi panduan, kuncinya adalah DOA kepada ALLAH (bukan kepada ayat) dan USAHA, seterusnya Tawakkal. Itulah antara sifat-sifat orang yang beriman dalam menghadapi masalah, musibah atau ujian.

Kerana Ayat Al Quran adalah KalamULLAH dan mukjizat ma'nawi Sayyiduna RasulILLAHi SallALLAHu Alaihi Wasallam. Ianya sentiasa dalam keadaan 'power' dan tiada istilah 'ayat tak power' apabila ianya melibatkan Ayatul Quran. Bergantung kepada ALLAH bukan kepada ayat.

Cuma berhati-hati dengan istilah 'ayat tidak memberi bekas', ianya jika disalahfahami, akan menjurus kepada fahaman jabariyah.
Adakah dengan kalian membaca Firman ALLAH Tabaraka Wa Taala seperti di bawah ini tidak bergetar dan berbekas pada kalian? :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

"Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak menderhakai ALLAH terhadap apa yang diperintahkanNYA kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan." (At Tahrim :6)

Maka, secara kesimpulannya, ianya berbalik kepada tapak yang asas dan penting iaitu TAUHID iaitu Ilmu AQAIDUL IMAN.

"Jadi, tidak perlu baca ayat lah ye kalau sakit?"

Ayat juga antara ikhtiar dalam menyelesaikan masalah, tetapi perlu faham ianya sebagai panduan bukan sebagai pergantungan. Sebenar-benar pergantungan kita adalah pada ALLAH.

Ikhtiar, Iktimad, Iktibar, Ikhlas.

Wassalam.

supaya anak dengar cakap, baik dll

"Anak saya nie degil, takmau dengar cakap, pelajaran pun lembap, macam-macam dah cuba, tapi masih tak menjadi, saya jumpa dengan ramai USTAZ, perubatan Islam, ada yang kata saka dari saya, ada yang kata saka dari suami saya, saya pun kadang-kadang selalu bergaduh dengan suami saya, tolong buang saka saya ustaz."

Persoalan di atas adalah antara bermacam-macam soalan yang tampil menerjah sang faqir dalam ikhtiar berkaitan masalah anak atau rumahtangga.

Sebagai renungan bersama, berikut adalah persoalan yang sang faqir ajukan kembali kepada penanya, semoga menjadi panduan kepada kita semua jua.

1) Sejauh manakah anak-anak mengenali ALLAH dan RasulNYA?

2) Seakrab manakah anak-anak dengan Al Quran?

3) Adakah 1-2 jam dalam sehari diperuntukkan untuk membaca hadis atau sirah kepada anak-anak?

4) Adakah 2-3 jam dalam sehari diperuntukkan untuk membelai dan bermain dengan anak-anak yang masih kanak-kanak?

5) Berapa kerapkah dalam seminggu memeluk dan mencium ubun-ubun anak-anak yang masih kanak-kanak terutama sebelum mereka tidur?

6) Berapa kerapkah menyuap anak-anak makan dalam seminggu?

7) Adakah 1-2 jam dalam sehari diperuntukkan untuk berbual dengan anak-anak yang sedang meningkat umur(remaja)?

8) Berapa kerap dalam seminggu menunaikan solat 5 waktu berjemaah dengan anak-anak?

9) Berapa kerap mendengar anak-anak mendoakan ibubapa mereka dalam seminggu?

10) Pernahkah memandang wajah anak, sambil memegang tangan mereka dan berkata, "nanti pegang tangan papa & mama/ abi& umi/ walid &umi, macam nie tau masa masuk syurga."

Masing-masing kita boleh melihat persoalan-persoalan asas dalam mengharungi lautan keibubapaan ini.

Oleh kerana cenderungnya jiwa kepada perkara yang magikal, membuatkan hati terlupa kepada hal yang lebih logikal, mata tertutup kepada penyelesaian yang lebih rasional

Ikhtiar benteng diri dari segala yang bathil jasmani dan rohani.

Malam sebelum tidur sediakan sebekas air bersih berhampiran dengan tempat tidur. Tutup (agar tidak dimasukki dek najis cicak dan sayap lipas)

1) Usai bangun dari tidur, selepas celikkan mata, sekurang-kurangnya ucapkan walau sepatah AlhamduLILLAH, tanda kesyukuran dihidupkan semula selepas mati yang sementara, juga paling utama dihidupkan semula masih dalam keadaan beriman kepada ALLAH.

2) Bangun dari pembaringan, sebelum meminum air putih @ jarang @ masak atau sebelum melangkah masuk ke bilik air. Pandang wajah ke dalam bekas air tadi, sehingga menampakkan susuk bayang wajah kita yang penuh.

3) Setelah nampak penuh, maka celupkan jari telunjuk ke dalam bekas yang berbayangkan wajah kita, sambil menahan nafas dan sepanjang menahan nafas, di dalam hati, ucapkan kalimah toyyibah LaailahaillALLAH sebanyak mungkin.

4) Habis nafas, hembuskan Huu (dengan doa) perlahan-lahan melalui mulut ke dalam air tadi, dan air tersebut disapukan pada wajah kita, sebanyak bilangan yang ganjil (sekurang-kurangnya 3x), sambil berselawat ke atas Sayyiduna RasulILLAH SallALLAHu Alaihi Wasallam.

InsyaALLAH, anda sedang menjalankan ikhtiar untuk menghindar serta membuang segala perkara yang bathil di dalam diri.

Adapun ini adalah salah satu Amalan Al Alim Al ALamah Syeikh Abdus Somad Al Falimbani. Tokoh Ulama, mujahidin pembebas Negeri Fathoni Darussalam dan juga sahabat kepada Al Alim Al ALamah Syeikh Muhammad Arshad Al Banjari serta Al Alim Al ALamah Syeikh Daud Abdullah Al Fathoni.

Semoga beroleh manfaat dari ALLAH Azza Wajalla.