Jumaat, 24 Januari 2014

ayat power

AYAT POWER???

Seringkali orang bertanya kepada sang faqir yang dhoif dan jahil ini. Persoalan yang sang faqir rasakan sudah tahap 'berbuih mulut' untuk dijawab lisan, bergetar tangan lenguh dijawab dengan elektronik.

Soalan berbunyi,
"ustaz, ayat apa untuk sakit kepala ya?"
" Saya sakit perut, ada ayat tak untuk hilangkan sakit perut?"
"Dada saya selalu sakit malam-malam, ada tak ayat untuk hilangkan sakit dada?"
(Situasi pertama)

Soalan-soalan di atas antara berlonggokkan soalan yang menerkam ruangan PM, whatsapp, email, sms dan secara nyata.

Tiada masalah, sang faqir tolong jawabkan seadanya.

Agak kepelikan, kerana kebanyakan soalan bercirikan "ayat".

Bagi sang faqir, soalan yang sepatutnya ditanyakan, contohnya :
"Saya selalu sakit dada malam-malam, apa sebenarnya masalah saya dan bagaimana cara nak bendung ya?" (Situasi kedua)

Terdapat perbezaan yang jauh konteks antara soalan situasi pertama dan situasi kedua, nampak macam sama tetapi konteksnya amat jauh berbeza.

Selalunya kepada mereka yang bertanyakan soalan tentang ayat, sang faqir akan menjawabkan, "Baca Al Faatihah 1x, Selawat 7x pada secawan air madu, doakan semoga ALLAH redakan kesakitan, kemudian minum air tersebut"

Ada antara mereka akan menjawab, "itu saja ke ustaz? Kan dalam perubatan Islam ada ayat khas untuk sakit tertentu."

Lazimnya, bagi pertanyaan seperti itu, sang faqir akan menjawab, " Kita menyembah ALLAH, bukan menyembah ayat, ayat adalah wasilah (perantaraan) dalam amalan, yang paling penting adalah DOA dan USAHA."

Mereka akan menjawab semula, " bukan ke ayat quran tu penawar ke?"

Sang faqir hanya dapat menghela nafas panjang dengan pertanyaan tersebut.

Kenapa isu seperti ini perlu timbul dalam Perubatan Islam? Asal sebut perubatan Islam, mesti guna ayat. Begitukah hakikat perubatan Islam?

Betul, amat betul, Al Quran itu adalah penawar, tetapi kepada siapa?

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا
"Dan KAMI turunkan dari Al Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi ORANG-ORANG YANG BERIMAN dan Al Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian. "(Al Isra' : 82)

Jika kita lihat dan selami kalimah لِلْمُؤْمِنِين , Al Quran itu penawar untuk orang yang BERIMAN. Apakah ciri-ciri yang disebut beriman?

Untuk penghuraian tersebut, pasti akan penat mata sekalian sahabat hendak membaca bebelan si jahil ini.

Adapun, perlu kita faham, Al Quran adalah KalamULLAH malahan mukjizat ma'nawi Sayyiduna RasulILLAHi SallALLAHu Alaihi Wasallam. Adakah semata-mata dibaca untuk penawar sekadarnya? TIDAK, ianya lebih besar dari itu.

Kenapa sang faqir tidak tekankan ayat khusus itu ini? Jawabnya, Kerana menjaga kemuliaan dan kesucian Ayatul Quran yang tinggi dan tidak ternilai kedudukannya.
Jika diberi ayat tertentu sebagai contohnya, selepas itu mereka membacakannya pada sakit mereka dan sakit tidak hilang, bimbangnya akan muncul persoalan:
- "Ayat tidak power"
- "ada lagi tak ayat yang lebih ummph"
- "saya dah baca macam-macam ayat, amal dah macam-macam, tapi tak menjadi, ayat saya, amalan saya tak power ke?"

Aqidah mereka akan terus dalam keadaan lemah, sakit semakin bertambah, masalah terus berlarutan. Kenapa? Ia berbalik kepada ASAS UTAMA iaitu TAUHID, iaitu Ilmu Aqaid.

Ayat yang dibacakan sebagai ikhtiar menunjukkan kita berpandukan kepada Al Quran tetapi bukan bergantung kepada Al Quran, hakikat pergantungan kita adalah kepada ALLAH.

Hal yang paling penting dalam bab penyakit adalah:
1) Mengetahui dahulu punca penyakit,
2) Masalah sebenar penyakit
3) Kaedah ikhtiar bagi penyakit

Maka, dalam masa inilah ayat-ayat Al-Quran dan doa-doa Nabawiyyah serta doa warisan para siddiqin wa muqarobbin menjadi panduan, kuncinya adalah DOA kepada ALLAH (bukan kepada ayat) dan USAHA, seterusnya Tawakkal. Itulah antara sifat-sifat orang yang beriman dalam menghadapi masalah, musibah atau ujian.

Kerana Ayat Al Quran adalah KalamULLAH dan mukjizat ma'nawi Sayyiduna RasulILLAHi SallALLAHu Alaihi Wasallam. Ianya sentiasa dalam keadaan 'power' dan tiada istilah 'ayat tak power' apabila ianya melibatkan Ayatul Quran. Bergantung kepada ALLAH bukan kepada ayat.

Cuma berhati-hati dengan istilah 'ayat tidak memberi bekas', ianya jika disalahfahami, akan menjurus kepada fahaman jabariyah.
Adakah dengan kalian membaca Firman ALLAH Tabaraka Wa Taala seperti di bawah ini tidak bergetar dan berbekas pada kalian? :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

"Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak menderhakai ALLAH terhadap apa yang diperintahkanNYA kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan." (At Tahrim :6)

Maka, secara kesimpulannya, ianya berbalik kepada tapak yang asas dan penting iaitu TAUHID iaitu Ilmu AQAIDUL IMAN.

"Jadi, tidak perlu baca ayat lah ye kalau sakit?"

Ayat juga antara ikhtiar dalam menyelesaikan masalah, tetapi perlu faham ianya sebagai panduan bukan sebagai pergantungan. Sebenar-benar pergantungan kita adalah pada ALLAH.

Ikhtiar, Iktimad, Iktibar, Ikhlas.

Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan