Ahad, 6 Oktober 2013

:: KELEBIHAN 1 - 10 ZULHIJJAH YANG TIDAK DIKETAHUI RAMAI ::



Mengerjakan amalan soleh pada 1 hingga 10 Zulhijjah adalah suatu amalan yang terlalu besar ganjarannya yang tidak diketahui ramai masyarakat Islam.

Sehingga ada Ulama' yang berbeza pendapat tentang manakah yang lebih baik di antara 10 hari terakhir pada bulan Ramadhan atau 10 hari pertama pada bulan Zulhijjah.

Dan ini mungkin memeranjatkan pembaca yang mungkin pertama kali terdengar bahawa kelebihan 10 hari pertama Zulhijjah tidak kurang hebatnya dengan 10 hari terakhir pada bulan Ramadhan.

Di sini akan dibawakan sebuah hadith Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam yang membuktikan tentang kehebatan 10 hari Zulhijjah ini dan menerangkan tentang kelebihannya.

Diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas Radhiyallahu anhuma, bahawa Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda, mafhumnya:

" Tidak ada amalan yang lebih utama daripada amalan di sepuluh hari ini." Sahabat bertanya: "Tidak juga Jihad?" Baginda menjawab: "Tidak juga Jihad, kecuali orang yang keluar mempertaruhkan jiwa dan hartanya, lalu dia kembali tanpa membawa sesuatu pun."

[HR Imam Bukhari 2/530, Imam Ahmad dalam Fathul Rabbani 6/166, Tarmidzi 3/289]

Apa yang dimaksudkan oleh hadith ini ialah, amalan soleh apa jenis sekalipun pada 10 hari pertama bulan Zulhijjah melebihi pahala berjihad dalam beberapa keadaan.

Berkata Syeikh Muhammad Al Na'im:

"Sesungguhnya ramai daripada orang Islam Tidak mengetahui tentang kelebihan 10 hari pertama bulan Zulhijjah. Sesungguhnya ia lebih afdhal dari hari-hari bulan Ramadhan kerana bersandarkan kepada sabda Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam: "Sebaik-baik hari dunia ini ialah 10 hari pertama Zulhijjah."

[ Diriwayatkan oleh Imam al-Bazza daripada Jabir r.a. dan dihukumkan hadith hasan oleh Imam Sayuti di dalam 'Al-Jamik Al-Saghir" (1301), dan sahih oleh kitab "Sahih Al-Jamik" (1133) ]

Berkata Ibnul Qayyim Rahimahullah dalam membuat perbandingan di antara kelebihan 10 hari pertama Zulhijjah dan 10 hari terakhir bulan Ramadhan, dengan katanya:

"Pendapat yang betul ialah: Malam 10 terakhir bulan Ramadhan lebih afdhal dari malam-malam 10 hari pertama Zulhijjah, dan 10 hari pertama Zulhijjah lebih afdhal dari sepuluh hari terakhir Ramadhan. Dengan pendapat ini, maka hilanglah kemusykilan. Adapun dalil yang demikian ialah disebabkan 10 malam terakhir Ramadhan dimuliakan kerana malam Lailatul Qadar, iaitu ia diturunkan di antara malam-malam (yang terakhir) itu. Adapun 10 hari pertama Zulhijjah dimuliakan kerana siangnya, iaitu disebabkan ada di dalamnya hari Arafah, hari Qurban dan hari Tarwiyah."

Maka ambillah peluang 10 hari pertama Zulhijjah ini sebagaimana kita mengambil peluang pada 10 hari terakhir Ramadhan, iaitu dengan mempebanyakkan bacaan Al-Quran, bersedekah, beriktikaf, berdzikir, berdoa, berpuasa, bersolat sunat dan apa sahaja yang kita sering lakukan pada hari terakhir bulan Ramadhan..

SELAMAT MENYAMBUT BULAN ZULHIJJAH & SALAM MUJAHADAH..


Catatan Al-Faqirah Ilallah,

azwa ala hafiy

Tiada ulasan:

Catat Ulasan